Popular Post

Monday, March 28, 2011

Elaine-Daphne-Deborah, Saling kongsi pengalaman.



SUASANA mewah di tingkat 29 Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur yang aman dan senyap bertukar riuh apabila tiga jelitawan Daphne Iking, Deborah Henry dan Elaine Daly bertemu khas untuk fotografi eksklusif bersama Kosmo!.
Agendanya hari itu adalah untuk bercerita mengenai program terbaru kendalian mereka yang berjudulBella terbitan ntv7. Sedang mereka disolek, perbualan rancak berjalan fokusnya kepada Bella.
Namun, perbualan itu terhenti seketika apabila diajukan soalan berhubung ketiadaan Sasha Saidin yang sempat bersama program itu selama enam episod sejak ia disiarkan di kaca televisyen bermula 3 Januari lalu.
Menyusun kata agar tidak menyakiti hati mana-mana pihak baik Deborah, Daphne dan Elaine mengambil langkah selamat dengan memberitahu mereka tidak terlibat dengan pengunduran diri Sasha daripada Bella.
"Kami tidak bergaduh atau mempunyai masalah dengan Sasha. Sepatutnya memang ada empat orang pengacara tetapi Sasha mengambil keputusan untuk tidak terus bersama program Bella.
"Keputusannya itu tidak ada kena-mengena dengan kami, semuanya antara dia dan pihak produksi. Sebenarnya saya pun tidak tahu nak cakap apa mengenai hal ini," balas Daphe.
Bercerita lanjut mengenai Bella, jelas ketiga-tiga mereka yang menjalani uji bakat terlebih dahulu sebelum terpilih untuk bersama program tersebut, Bella merupakan sebuah program wanita berbahasa Inggeris yang sesuai untuk semua golongan masyarakat.
Daphne yang lebih dikenali sebagai pengacara berbanding seorang aktres memberitahu, selepas empat tahun bersama program Breakfast Show di Ntv7, dia mengambil keputusan untuk mengambil angin baru.
"Bila sudah terlalu lama bersama sesebuah program, saya sudah rasa selesa tetapi perubahan yang berlaku dalam Breakfast Show membuatkan saya rindu untuk turun padang menjadi wartawan.
"Dalam Bella, selain menjadi pengacara, saya juga akan turun padang untuk melengkapkan laporan sesebuah topik. Malah, kami juga bebas memberikan pendapat dan input untuk menjadikan program ini lebih menarik," katanya wanita berusia 32 tahun itu lagi.
Keakraban mereka bertiga sebagai rakan di luar set penggambaran program melicinkan lagi perjalanan produksi Bella.
Menurut Elaine, mereka bertiga merupakan kenalan lama dan mudah untuk mewujudkan keserasian dan kesefahaman antara mereka.
"Kami semua telah kenal lama, jadi bila disatukan dalam program memang satu hal yang cukup gembira buat kami. Sebenarnya, walaupun kami pengacara bersama program Bella tetapi susah untuk jumpa bertiga macam hari ini.
"Sebabnya program Bella bersiaran dari Isnin hingga Jumaat dan Ahad. Pada hari biasa, kami akan mengendalikan program itu seorang diri dan bertukar setiap hari mengikut jadual, cuma pada hari Ahad sahaja kami akan mengacaranya berdua. Jadi, memang sukar untuk kami jumpa bertiga," cerita Elaine.
Deborah pula yang merupakan pengacara yang paling muda dalam bidang pengacaraan mengatakan dia tidak dapat menyembunyikan perasaan gugup dan cemasnya tatkala bersiaran pada pertama kali.
"Saya pernah menjadi pengacara untuk sebuah program di dalam talian dan ia berbeza dengan Bellakerana ini merupakan program yang bersiaran secara langsung pertama saya.
"Cemas dan gugup itu memang ada dalam diri tambahan pula digandingkan dengan dua pengacara yang lebih berpengalaman daripada saya. Saya perlu berusaha lebih sedikit supaya saya tidak ketinggalan jauh di belakang mereka.
Sehingga hari ini saya masih lagi belajar untuk memberi yang terbaik," jawabnya tentang program yang bersiaran selama setengah jam itu.
Program Bella, adalah lebih kepada majalah berbentuk hiburan akan menemui penonton ntv7 setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 11.30 pagi, manakala pada hari Ahad ia akan bersiaran selama satu jam bermula pukul 1.30 petang
TIGA jelitawan ini bersepakat memberitahu bahawa mereka tidak terlibat dengan kes pengunduran Sasha Saidin yang sepatutnya turut menjadi hos program Bella bersama mereka bertiga.
Elaine mula bisnes- Miss Malaysia Universe 2003.
Meskipun sibuk di lokasi penggambaran drama dan program Bella, Elaine Daly yang juga seorang model terkenal kini bergelar seorang usahawan dalam talian.
Menjual beg di laman sesawang, www.dalystore.com, kata Elaine, dia memula perniagaannya itu sejak bulan Februari lalu dan maklum balas yang diterimanya amat memberansangkan.
"Saya memang suka berniaga tetapi saya mengambil masa untuk memilih bidang perniagaan yang ingin saya ceburi. Buat masa ini, beg saya semuanya direka oleh saya sendiri dan dikilangkan di Indonesia, harganya juga berpatutan di antara RM200 sehingga RM1,000.
"Pelanggan saya setakat ini hanya dalam Malaysia sahaja, mungkin bulan depan saya akan mula mengambil pesanan daripada pelanggan luar negara pula," tuturnya pemenang Anugerah Pelakon Drama TV Wanita Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 2010.
Bicara Elaine disambung pula dengan kisah hatinya yang belum dimiliki oleh mana-mana lelaki. Katanya yang kini berusia 34 tahun, kesibukan kerja membataskan masanya untuk bercinta.
"Saya suka dengan apa yang saya lakukan hari ini, berlakon, mengacara dan berniaga. Mungkin orang tidak akan percaya bila saya kata saya tiada teman lelaki tetapi itu adalah hakikatnya.
"Siapa yang tidak mahu kahwin dan mempunyai anak, semua wanita mempunyai impian itu. Masalahnya saya belum berjumpa dengan lelaki yang sesuai, saya tidak mahulah berkahwin atas sebab paksaan keluarga atau faktor usia. Jika ia terjadi, biarlah ia datang dengan cinta," jawabnya.
Deborah dan kerja kebajikan
Bergelar Miss Universe Malaysia 2011, Deborah Henry yang terlibat dalam dunia peragaan sejak usia 14 tahun kini cukup akrab dengan kerja-kerja kebajikan, tambahan pula dia merupakan pengasas bersama Fugee School yang ditubuhkan pada tahun 2008.
Fugee School merupakan Yayasan Pendidikan Kanak-Kanak Somalia yang memberi fokus kepada pendidikan terutamanya bahasa Inggeris dan Matematik.
"Selain sibuk dengan kerja seharian, saya juga sibuk dengan yayasan kebajikan untuk kanak-kanak Somalia. Walaupun bantuan yang diberi menerusi aspek pendidikan sahaja, saya berharap dengan adanya bantuan ini, kanak-kanak ini akan mempunyai masa depan yang cerah," katanya.
Selepas dua tahun menaburkan bakti terharap yayasan ini, Deborah berharap lebih ramai rakyat Malaysia yang membantu meringankan beban kanak-kanak Somalia.
"Satu perasaan yang tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata apabila kanak-kanak yang dibantu menunjukkan hasil yang positif.
"Saya tahu kerja kebajikan memang amat sinonim dengan pertandingan ratu cantik tetapi saya telah lakukan semua ini sebelum saya dikenali lagi. Jika ada yang berminat untuk membantu boleh layari laman sesawang, www.fugeeschool.com," ucapnya.